PENDEDAHAN: NAJIB PM 'BOROS' BELI JET PERIBADI BARU - RAFIZI | KUALA LUMPUR 16 MAC :
Sikap ‘boros’ Datuk Seri Najib Razak makin terserlah dengan pembelian terkini sebuah lagi jet peribadi
baru bagi kegunaan perdana menteri.
Dalam satu pendedahan kepada Keadilandaily, Naib Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli memberitahu
pentadbiran Najib pada 1 Disember lalu membeli sebuah lagi jet peribadi yang dianugerahkan secara
terus kepada Jet Premier One (Malaysia) Sdn Bhd.
“Pembelian sebuah lagi jet peribadi baru yang kini di bawah pendaftaran 9H-AWK dan telah siap dicat
dengan logo 1Malaysia (seperti di dalam gambar yang disertakan membuktikan bahawa pentadbiran
Dato’ Seri Najib Tun Razak terus menerus bergelumang di dalam keborosan dan pembaziran,
pada kala negara masih dikejutkan dengan skandal kewangan 1MDB,” kata Rafizi.
Ahli Parlimen Pandan itu turut merujuk kenyataan Jabatan Perdana Menteri pada sidang Parlimen
November 2013 yang mana memaklumkan kerajaan telah memilik 5 jet peribadi termasuklah Boeing
Businees Jet.
Sikap boros ini dilihat bertentangan dengan situasi yang dihadapi rakyat kini apabila berdepan dengan
kenaikan harga barangan ekoran pemotongan subsidi bahan api.
Kesal dengan tindakan Najib itu, Rafizi turut mendakwa tindakan Najib ini juga mengesahkan lagi bahawa
rakyat bakal berhadapan dengan satu bentuk cukai baru untuk membayar jet peribadi Perdana Menteri.
“Tindakan membeli sebuah lagi jet peribadi baru ini sudah tentu menimbulkan kemarahan rakyat pada kala
rakyat terpaksa berdepan dengan pelaksanaan GST dalam tempoh 2 minggu dari sekarang.
“Rakyat terpaksa menanggung cukai baru yang sebahagiannya akan digunakan untuk membayar jet
peribadi baru Perdana Menteri ini,” ujarnya lagi.
Untuk rekod, penggunaan jet peribadi sedia ada iaitu ACJ319 melibatkan kos sebanyak RM28.8 juta
setahun dalam bentuk sewaan dan RM5.5 juta setahun dalam bentuk kos penyenggaraan.
Justeru, Rafizi menuntut pembelian jet peribadi ini dibatalkan kerana tindakan ini hanya akan
membelakangkan kepentingan rakyat sekaligus Najib perlu memohon maaf atas tindakannya itu.
Sebelum ini, Najib dan Isterinya, Rosmah Mansor juga dilaporkan gemar berboros dan menghabiskan
dana awam untuk tujuan peribadi. Tindakan ini juga turut mengundang kritikan banyak pihak yang
memaksa Perdana Menteri itu berundur dan melepaskan jawatannya.
0 comments:
Post a Comment